Wednesday, 2 November 2011

Kembali Mengimbau Kenangan Gunung Tahan

XPDC GUNUNG TAHAN SIRI 4 
(WARIS)
30 SEPT - 3 OKT 2011
MERAPOH - PUNCAK TAHAN - MERAPOH
24 PESERTA
KELAS TREK : A



Renung ke alam semula jadi, dan anda akan faham segala-galanya lebih baik.” Begitulah kata-kata Albert Einstein, seorang saintis fizik tersohor yang terkenal dengan Teori Relativitinya. Memang ada kebenarannya kata-kata beliau itu. Dek kekaguman terhadap alam semula jadilah yang mendorong saya dan rakan-rakan bersusah-payah meredah hutan untuk menjejakkan kaki ke puncak yang sering menjadi buruan para pendaki ke puncak tertinggi di semenanjung malaysia. Ketinggian yang diukur dari paras laut telah mencatatkan ketinggian 2187 meter. Gunung Tahan yang terletak di Taman Negara Negeri Pahang menjadi tumpuan para pendaki tanah air dan juga luar negara menikmati panorama dan juga flora dan fauna yg masih terpelihara. 

AKTIVITI mendaki gunung di negara ini sudah semakin popular tidak mengira usia dan bangsa.  Pengemar sukan lasak seperti mendaki gunung sudah semestinya menyukai cabaran dan mempunyai daya tahan yang tinggi apabila memiliki minat terhadap sukan ekstrem ini. Di Malaysia sukan ekstrem atau dalam bahasa Inggerisnya X-games semakin hari semakin diminati oleh golongan remaja dewasa ini. Aktiviti ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal malah anda yang ingin mencuba sukan ekstrem seperti ini haruslah mempunyai kekuatan mental yang kuat. Pendaki gunung di Malaysia bertuah kerana mereka mempunyai banyak pilihan kerana permukaan gunung dan tanah tinggi di Malaysia mempunyai pelbagai bentuk. Ini memberi peluang kepada mereka menjalankan sukan ekstrem ini dengan lebih mencabar.  Seramai 25 orang peserta menyahut cabaran tersebut bagi meneruskan kesinambungan aktiviti mendaki gunung, Persatuan Kebajikan, Sukan dan Rekreasi JMM (WARIS) baru-baru ini menjayakan XPDC Gunung Tahan Siri ke 4/2011 di Pahang . Aktiviti selama empat hari tiga malam itu disertai oleh 18 kakitangan Jabatan Muzium Malaysia , 4 orang peserta NGO dan 2 orang media dari Majalah Santai. Laluan Merapoh-Gunung Tahan-Merapoh sebagai trek pendakian. Terkenal sebagai puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2,187 meter dari paras laut, sudah semestinya laluan yang tersedia menjanjikan pelbagai cabaran untuk ditempoh oleh para pendaki.



Hari pertama :
Para peserta bertolak dari jabatan Muzium Malaysia pada jam 11.00 malam dengan bas persiaran yang disediakan oleh pihak WARIS. Destinasi kami ialah Pejabat Perhilitan Sungai Relau yang bertanggungjawap menguruskan Taman Negara Pahang yang menjadi pintu masuk kedua ke puncak gunung tahan selepas Kuala tahan. Jam 6.30pagi para peserta tiba di perkarangan pejabat perhilitan, sementara menunggu pejabat perhilitan dibuka para peserta merehatkan badan diruang rehat disalah sebuah bangunan Jabatan perhilitan yang menjadi lokasi pendaftaran mendaki gunung tahan.
Selesai sarapan pagi para peserta diwajibkan mengistihar barang yang dibawa untuk direkodkan dimana setiap barang yang dibawa naik harus dibawa turun bagi menjamin kebersihan Gunung Tahan. Selesai pendaftaran para peserta di perkenalkan dengan jurupanduarah (guide) serta taklimat ringkas mengenai fungsi Taman Negara dan bentuk muka bumi serta flora dan fauna yang menjadi penghuni di sekitar taman negara. Perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari perkarangan pejabat Perhilitan Sungai Relau ke Kuala Juram hanya mengambil masa kira-kira 20 minit.




Cabaran sebenar dalam ekspedisi ini bermula dari Kuala Juram apabila para peserta mula menggalas beg masing-masing yang mempunyai berat purata antara 15 hingga 20 kilogram. Kami memulakan perjalanan hari pertama pendakian menuju ke tapak perkhemahan pertama di Kem Kor sejauh 12 kilometer (km) pada pukul 11.30 pagi. Walaupun pendakian hari pertama hanya mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan meredah hutan menyusuri laluan yang agak landai selain melintasi tidak kurang dari empat batang sungai, ia sudah memadai untuk dijadikan pemanas badan sebelum memulakan pendakian pada hari kedua yang lebih mencabar.


Hari Kedua :
Seawal pukul 6.30 pagi, sebahagian peserta sudah sibuk menyiapkan juadah untuk makan pagi manakala sebahagian lagi menyiapkan diri dengan memakai semula ‘uniform’ untuk meneruskan pendakian. Tepat pukul 9.45 pagi, perjalanan diteruskan dengan menyusuri sebatang sungai sebelum bertemu dengan trek pendakian yang lebih mencabar. Cabaran perjalanan yang dimaksudkan itu adalah permukaan agak menegak dari Kem Kor ke Kem Permatang yang diberi gelaran Bukit Tobat dan itu memaksa para pendaki memerah keringat. Di laluan itulah kekuatan mental dan fizikal para peserta mula teruji – sama ada mereka benar-benar mampu bertahan atau pun mudah menyerah kalah sebelum tiba di puncak.
Trek tersebut membuatkan ramai para pendaki terutamanya yang baharu berjinak-jinak dalam aktiviti lasak ini ‘dibelasah’ teruk oleh alam semula jadi sehingga ada yang sudah menganggap pendakian tersebut adalah yang pertama dan terakhir bagi mereka. Laluan dari Kem Permatang ke Kem Kubang juga memerlukan pada pendaki memanjat akar-akar pokok dan sesekali menuruni tebing bukit dengan terpaksa berpaut pada tali yang disediakan di laluan.
Sebaik tiba di Kem Kubang kira-kira pukul 12.50 pagi, kesemua peserta berkumpul semula bagi membolehkan perut diisi agar tenaga yang telah hilang dapat dikembalikan semula sebelum meneruskan perjalanan. Selesai makan tengahari, perjalanan diteruskan ke Kem Belumut yang terletak kira-kira 30 minit pendakian dari Kem Kubang. Disebabkan jaraknya yang dekat, kami mengambil keputusan untuk tidak berhenti rehat sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kem Bonsai yang terletak kira-kira 5.5 kilometer lagi dari Kem Belumut.

Kami tiba di Kem Bonsai pada jam 5.30 petang, kepenatan seolah-olah sedikit terubat apabila para peserta disajikan dengan pemandangan yang luas dan indah berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa. Dari situ jugalah kelibat puncak Gunung Tahan sudah boleh dilihat dan ternyata ia telah menjadi pembakar semangat untuk para peserta meneruskan pendakian yang memerlukan sejam perjalanan sebelum tiba di Kem Botak yang mana menjadi lokasi kami bermalam. Perjalanan dari Kem Bonsai ke Kem Botak perlu melalui renetan pohon-pohon bonsai yang luas seperti sebuah taman bonsai serta pemandangan yang dihidangkan ternyata cukup indah apabila sepanjang pendakian, pemandangan Banjaran Titiwangsa di kiri dan kanan laluan terbentang di depan mata. Para peserta juga sesekali merempuh kabus tebal yang cukup menyamankan.
Pendakian hari kedua berakhir di Kem Botak dengan kumpulan pertama tiba di tapak perkhemahan Kem Botak pada jam 6.30 petang, Suhu di Kem Botak memang sudah terkenal dengan suhu yang amat sejuk hingga mencecah 12 darjah Celsius. Khemah terus dipasang serta menyediakan teh O panas untuk peserta-peserta yang beransur tiba bagi mengurangkan rasa sejuk. Persediaan untuk makan malam dilakukan secara bergotong royong. Jam menunjukkan 8.00 malam, titis-titisan hujan mula menyapa, namun masih ada peserta yang belum tiba, setengah jam kemudian hujan semakin lebat dangan angin yang agak kencang, hati sudah mula risaukan perserta yang belum sampai, dengan keadaan cuaca yang sejuk para peserta sudah mula rasa lapar, makan malam sudah siap terhidang, kami mengambil keputusan untuk makan dulu. Kumpulan terakhir tiba di kem Botak pada jam 11.00 malam dalam keadaan kesejukan. Setelah berehat melepaskan lelah air panas serta makanan telah disediakan untuk mereka. Semua peserta berehat dan tidur.

Hari Ketiga :
Pendakian hari ketiga sepatutnya bermula lebih awal untuk ke puncak Gunung Tahan, akibat dibelasah teruk oleh trek ke Kem Botak semalam, rata-rata peserta terlewat bangun akibat keletihan, akhirnya pukul 8.00 pagi baru bertolak ke puncak gunung tahan. Perjalanan ke puncak memakan masa 30 minit serta perlu menyusuri laluan bukit yang berbatu untuk tiba puncak Gunung Tahan.

Walaupun sedikit kecewa kerana hasrat untuk melihat keindahan matahari terbit dari ufuk timur tidak kesampaian kerana dilindungi kabus tebal di awal pagi, ternyata kegembiraan menjejakkan kaki di puncak itu mengatasi segala-galanya.




Selepas menghabiskan masa kira-kira sejam untuk bergambar kenangan serta meraikan kejayaan menawan puncak tertinggi di semananjung, para peserta diarahkan turun ke Kem Botak untuk berkemas serta sarapan secepat yang mungkin kerana masa sudah lewat. Selesai sarapan dan berkemas kami bertolak turun pada jam 12.15 tengahari.
Kami perlu pantas kerana jarak antara Kem Botak ke Kem Kor mengambil masa kira-kira lapan hingga sembilan jam, itupun sekiranya tiada sebarang kecederaan berlaku.
Justeru mengikut perkiraan kasar, sekiranya kami bergerak turun dari Kem Botak pada pukul 12 tengahari, kami hanya akan tiba di Kem Kor kira-kira pukul 9 malam.
Berbekalkan pengalaman yang ada dalam pendakian sebelum ini, penulis menjangkakan pasti kelewatan akan berlaku apabila memikirkan keadaan beberapa peserta yang pergerakan agak perlahan akibat sakit kaki. Penulis mengambil keputusan untuk menjadi sweeper bagi membantu peserta-peserta dibelakang.
Kami sampai di pokok bonsai jam 3.30 petang, rata-rata peserta sudah lapar dengan berbekalkan biskut atau makanan yang dibungkus menjadi hidangan petang tersebut. Penulis menjangkakan bahawa kumpulan terakhir ini seramai 11 orang peserta sudah terpisah jauh dari kumpulan hadapan kerana sepatutnya berada di Kem Kubang pada ketika ini. Kumpulan hadapan seramai 13 orang peserta pasti meneruskan perjalanan bagi mengelak berjalan malam.
Ternyata keputusan penulis tepat apabila penulis tiba di kem Kubang pada jam 6.30 petang hanya 2 orang peserta menunggu kami disitu, manaka selebihnya telah meneruskan perjalanan.ke Kem Kor. Peserta terakhir tiba di Kem Kubang bersama guider pada jam 8.30 malam. Atas nasihat guider kami mengambil keputusan untuk bermalam di Kem Kubang dan awal pagi esok meneruskan perjalanan ke Kem Kor.


Hari keempat :
Seawal jam 6.30 pagi para peserta berkemas untuk meneruskan perjalanan ke Kem Kor untuk bersama-sama peserta lain yang bermalam di sana. Mengambil masa 1 jam 45 minit akhirnya kami sampai di Kem Kor disambut oleh peserta yang bermalam di Kem Kor dengan hidangan nasi goreng untuk kami sarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Juram. Perjalanan ke Kuala Juram hanya sejauh 12km, para peserta meneruskan perjalanan dalam keadaan santai. Kumpulan pertama tiba di Kuala Juram pada pukul 2 petang manakala kumpulan terakhir tiba pada jam 4.15 petang..
Sementara menunggu pacuan empat roda tiba, para peserta membersihkan diri serta menjemur pakaian yang basah. Pacuan empat roda tiba pada jam 5.30 petang membawa kami keluar ke Pejabat Perhilitan Sungai Relau untuk membuat pengisytiharan barang yang dibawa turun. Jam 6.00 petang bas sampai untuk membawa kami pulang ke Kuala Lumpur bersama seribu kenangan yang tidak mungkin dilupakan.







No comments:

Post a Comment