Wednesday, 24 April 2013

GUNUNG TAHAN-AIR TERJUN 4 TINGKAT



MENJEJAKI MUTIARA TAMAN NEGARA
Taman Negara Gunung Tahan menyimpan pelbagai khazanah alamsemulajadi untuk tatapan generasi akan datang. Dipelihara dan dijaga sebaik mungkin agar ianya kekal asli selamanya. Air Terjun Empat Tingkat menjadi destinasi pilihan 11 pendaki diketuai Khairul Nizam Mohd Aris atau lebih dikenali sebagai pak sheikh dikalangan rakan-rakan pendaki dan ditemani 2 jurupandu arah yang juga duta kecil Taman Negara Gunung Tahan iaitu saudara Azri bin Abdul Azam (Ayie) dan Baihaqi bin Ahmad (Bai). Mengunakan pintu masuk dari Taman Negara Kuala Tahan sebagai permulaan perjalanan kami.

Pendaftaran
Taman Negara Gunung Tahan dikawal selia oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Setiap aktiviti yang bakal dilakukan dalam kawasan Taman Negara haruslah mendapat kebenaran dari Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhilitan akan mengenakan kadar bayaran tertentu untuk permit memasuki Taman Negara, permit kamera dan bayaran tapak perkhemahan jika melibatkan aktiviti bermalam didalam kawasan Taman Negara.

Pengembaraan bermula
Perjalanan bermula dari Pejabat Perhilitan Taman Negara Kuala Tahan menuju ke destinasi pertama iaitu Kem Melantai yang perlu ditempuhi sejauh 12km yang memakan masa hampir 4 jam perjalanan. Struktur muka bumi yg agak mendatar dan ditambah lagi dengan kemudahan pelantar pejalan kaki yang disediakan oleh pihak taman Negara untuk aktiviti jungle trecking ditempuhi dengan mudah.




Kem Puteh
Pejalanan hari kedua sedikit mencabar kerana jarak perjalanan ke kem puteh sejauh 13km memakan masa 7-8jam perjalanan. Struktur muka bumi yang berbukit adalah cabaran pertama kami. Kami perlu mengharungi 25 bukit yang diberi gelaran bukit malang dan perlu mendaki Gunung Rajah yang berketinggian 576meter (1889kaki) dari aras laut. Penat sedikit terubat pabila menjejakkan kaki dipuncak Gunung Rajah kerana dipukau dengan keindahan panorama banjaran tahan yang terbantang jauh mata memandang. Setelah merakamkan beberapa keping gambar kenangan kami meneruskan perjalanan ke kem puteh yg terletak bersebelahan sungai tahan.


Kem Teku
Destinasi hari ini adalah kem Teku yang terletak hanya 7km dari kem puteh namum ianya memakan masa 7jam perjalanan kerana kami perlu melintasi sungai tahan sebanyak 7 kali sebelum tiba di kem teku. Dengan keadaan cuaca malam tadi yang hujan mengakibatkan paras air agak tinggi  dan arus sungai yang deras memerlukan kami lebih berhati-hati untuk melintasi dan perlu saling membantu rakan untuk mengharungi sungai tersebut, kecuaian boleh mengakibatkan hanyut dibawa arus. Dengan permuafakatan kami yang tinggi, akhirnya kami selamat tiba di kem teku pada jam 5 petang. Sebelah malamnya sedikit taklimat tentang perjalanan ke Air Terjun Empat Tingkat (ATET) dilakukan oleh jurupandu arah, dimaklumkan yang laluan ke ATET sudah lama tidak digunakan, atas faktor alam semulajadi kemungkinan banyak laluan sudah tertutup akibat daripada pokok tumbang atau runtuhan tanah. Oleh yang demikian kami diminta berhati-hati dengan laluan dan juga keadaan sekeliling.

Jejak Laluan
Seawal jam 6 pagi kami bangun menyiapkan sarapan dan juga makan tengahari, makanan tengahari dibungkus dan dibekalkan pada setiap peserta. Jarak masa yang kurang jelas memerlukan kami mengunakan sepenuh masa dengan sebaik mungkin untuk tiba kedestinasi yang dituju, tepat jam 7.30 pagi kami memulakan perjalanan dengan memasuki rentis ke ATET yang terletak bersebelahan rentis ke puncak gunung tahan, perjalanan awal mula menuruni lembah dan menyusuri sungai tahan, kedalaman sungai di paras pinggang dengan arus yang laju adalah rutin sepanjang perjalanan ke ATET, sesekali memasuki rentis hutan yang agak kabur hanya berpandukan pada tanda rentis yang dibuat oleh pihak taman Negara suatu masa dulu yang bertanda dengan kepingan zink kuning sebagai penunjuk arah rentis ke ATET, namun keadaan menjadi sukar apabila tanda kepingan zink tidak kelihatan manakala rentis sudah tidak jelas akibat dari faktor alam semulajadi yang mana rentis ditutupi rimbunan pokok. Pengalaman jurupandu arah dalam mencari rentis yang betul sedikit sebanyak membantu dalam mengesan rentis asal yang banyak telah dikaburi dengan laluan binatang liar dan laluan orang asli yang mencari sumber hutan. Sepanjang perjalanan kami di hidangkan dengan kesan-kesan tapak sekumpulan gajah yang masih baru, juga jelas kelihatan tapak harimau sebesar tapak tangan orang dewasa di kawasan berpasir di tebing sungai. Ini juga adalah cabaran kami dalam menjejaki ATET. Setiap peserta dinasihati agar lebih berhati-hati serta peka dengan persekitaran disetiap kawasan yang dilalui. Hari sudah menjangkau tengahari, lokasi yang strategik dicari untuk rehat dan makan tengahari, di tebing sungai dibawah teduhan pokok besar menjadi lokasi para peserta menjamu selera makanan yang dibekalkan, air teh panas dimasak bagi mengembalikan tenaga yang dihabiskan dalam kesejukan mengharungi sungai hampir sepuluh kali untuk sampai ke sini.
Setelah 1 jam rehat kami meneruskan perjalanan dengan memudir ke hulu sungai. Perjalanan hampir 3 jam menyusuri sungai sesekali memasuki rentis hutan akhirnya jam 6 petang kami sampai di satu kawasan yang dikenali sebagai Pasir Panjang. Memandangkan hari sudah petang, perjalanan untuk sampai ke ATET masih jauh, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bermalam di Pasir Panjang. Hanya berbekalkan makanan yang terhad, makanan dikumpul dan dibahagikan kepada 2 bahagian, untuk makan malam dan untuk sarapan pada pagi keesokkannya. Dengan pakaian sehelai sepinggang yang basah untuk pakai tidur adalah pengalaman yang sukar dilupakan, unggun api dinyalakan bagi memanaskan badan sambil mengeringkan pakaian yang basah. Unggun api juga berfungsi untuk menghidari dari binatang menghampiri kawasan tersebut. Hanya berbekalkan sebuah khemah dipasang untuk kegunaan peserta wanita manakala peserta lelaki hanya tidur beralaskan daun kayu disebelah unggun api bagi mengurangkan sejuk. Suasana malam yang dingin ditempuhi dengan tabah sehinggalah menjelang pagi.



Air Terjun Empat Tingkat
Tidur sebelah malamnya yang asyik terjaga akibat kesejukan atau tidak selesa dengan tempat tidur semua peserta bangun seawal jam 7 pagi, Hari ini semua peserta bersemangat untuk menjejakkan kaki di ATET serta menikmati keindahan dan kedinginan ATET. Setelah selesai sarapan kami meneruskan perjalanan, laluan masih sama, menyusuri sungai dan mengikuti rentis hutan, setelah 2 jam berjalan kami mula menjumpai kaki sungai yang dipercayai berpunca dari ATET, struktur sungai dengan berbatu sebesar kepala lori amat bahaya jika melaluinya dimusim tengkujuh atau waktu hujan kerana dikhuatiri berlaku fenomena kepala air. Ada sesetengah bahagian kami perlu memanjat batu besar yang lincin dan kekurangan tempat untuk berpaut. Bantuan dari rakan-rakan amat penting untuk menarik rakan naik keatas batu. Tali yang tersedia haruslah diperiksa ketahanannya sebelum mengunakannya dikhuatiri ianya telah reput kerana tali itu sudah lusuh. Selesai melintasi batuan sungai yang besar itu kami mula mendaki rentis hutan yang mencanak hampir 90 darjah. Tali-tali bantuan pendakian telah siap ada dikawasan yang agak sukar atau tegak. Hampir 3 jam melayan bukit untuk sampai ke kaki ATET akhirnya deruman ATET mula kedengaran, kepenatan sedikit terubat apabila melihat kehijauan rumput dan tumbuhan apabila mula menghampiri kaki ATET, laluan berbatu mula mengambil bahagian apabila sampai di ATET, rembasan air dari ATET yang dingin membuatkan kami kembali segar setelah teruk dibelasah dengan rentis yang mencanak.Kedudukan ATET berada di ketinggian 3228 kaki dari paras laut. Keindahan ATET sukar digambarkan dengan kata-kata, kedudukan ATET yang tinggi dengan hadapannya dihidangkan dengan permandangan panorama Banjaran Tahan. Air yang jatuh dengan empat peringkat sebelum ia jatuh ke dalam sebuah kolam dikaki air terjun dan terus mengalir mengikut alur sungai membuatkan ATET amat unik. Kami semua bersyukur kerana diberi peluang oleh tuhan untuk menikmati serta mensyukuri nikmat ciptaannya.
Selesai sesi bergambar kami segera meninggalkan ATET kerana masa sudah suntuk untuk kami kembali ke Kem Teku, Perjalanan pulang lebih panjang, kami mengambil masa 15 jam dari ATET untuk sampai di Kem Teku. Peserta terakhir tiba di kem teku pada jam 5 pagi.

Kem Gedong
Perjalanan hari ini dimulakan pada jam 2 petang, setelah mendapat rehat yang secukupnya. Destinasi hari ini ialah Kem gedong, Perjalanan sejauh 14 km perlu menempuhi Gunung Pankin, Gunung Tangga Lima Belas dan Gunung Reskit sebelum tiba di Kem Gedong. Perjalanan agak mencabar dan memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam mengharungi cabaran struktur muka bumi yang berbukit, kebanyakan perjalanan hari ini hanya mendaki, agak kurang rentis yang mendatar atau menurun. Jam 8 malam kami tiba di Kem Pankin untuk makan malam kemudian meneruskan perjalanan ke Gunung Tangga Lima Belas, cabaran kali ini perlu menuruni dan menaiki tangga yang agak curam didalam keadaan kegelapan malam yang hanya dibantu dengan cahaya lampu kepala sebagai panduan dalam mengatur langkah. Pergerakkan agak perlahan jika dibandingkan jika berjalan pada waktu siang, akhirnya kami tiba di kem gedong pada jam 4 pagi.

Puncak Gunung Tahan
Hari ini semua peserta akan ke puncak gunung tahan, perjalanan hari cukup menarik, kerana rentis kepuncak Tahan akan melalui kawasan berbatu dengan permandangan pokok bongsai yang luas tanpa sekatan, panorama gunung ganang disekitar banjaran tahan membuatkan hati merasa puas dan tenang walaupun bersusah payah untuk sampai kesini namun ianya sudah sedikit terubat. Kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenang-kenagan bersama rakan seperjuangan. Kami tiba dipuncak Gunung Tahan pada jam 6 petang, dengan kedinginan mencecah 10 darjah celcius tidak menjadi masalah bagi kami meraikan kejayaan menawan puncak gunung tahan. Kejayaan kami disambut dengan hujan yang lebat disertai dengan angin yang kuat menjadikan keadaan menjadi kelam kabut untuk mencari tempat berteduh. Setelah sejam berlalu, tiada tanda-tanda hujan akan berhenti, masing-masing sudah mengigil kesejukan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bergerak turun ke Kem Botak. Kem Botak menjadi lokasi terakhir kami untuk bermalam kerana esok adalah hari terakhir program kami.

Misi Selesai
Perjalanan hari ini memerlukan kami berjalan dari Kem Botak ke Kuala Juram sejauh 29.5km. Perjalanan dimulakan seawal jam 8 pagi di mana kami perlu melalui Kem Bonsai, Kem Belumut, Kem Kubang dan Kem Kor. Peserta terakhir tiba di Kem kor pd jam 4 petang, selesai menjamu selera kami meneruskan perjalanan ke Kuala Juram melalui Lata Luis dan Kuala Luis sebelum tiba di Kuala juram jam 8 malam. Kuala Juram adalah lokasi terakhir bagi pendakian mula dari Kuala Tahan dan permulaan pendakian untuk pendakian dari Sungai Relau, dari Sungai Relau perkhidmatan pacuan empat roda di gunakan untuk mengantar dan mengambil para pendaki dari kuala Juram ke Pejabat Perhilitan Sungai Relau. Kami tiba di Pejabat Perhilitan Sungai Relau pd jam 9 malam, selesai dokumentasi dan bayaran kami terus ke stesen keretapi Merapoh untuk pulang ke Kuala Lumpur






2 comments: